Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Jenama Lados: Dari Tukang Masak ke Usahawan Sambal Berjaya

By 13 Januari 2025Januari 15th, 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/ Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 13 Jan 2025 (MalaysiaAktif) – Perjalanan jenama “Lados” bermula dengan sebuah impian besar apabila pengurusnya, Mohd Alid Ibnu,38, bersama isterinya, Lizah Abdul Sani memutuskan untuk beralih arah daripada tukang masak kepada usahawan produk makanan.

Berbekalkan minat yang mendalam dunia masakan pasangan ini nekad untuk memulakan perniagaan makanan dengan menghasilkan sambal segera ketika negara dilanda wabak pandemik COVID-19 pada tahun 2020.

Biarpun menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mohd Alid berkata, perusahaan tersebut berjaya memasarkan beberapa jenis produk sambal jenama Lados ke pasaran tempatan dengan mengekalkan rasa serta kualitinya sehingga ke hari ini.

Mohd Alid bersama isterinya di hadapan gerainya di Program Mega Carnival Terbesar Borneo hari ini.

“Ketika perintah kawalan pergerakan, semua orang terkesan termasuk kami, tetapi waktu itu juga menjadi peluang untuk kami mencuba sesuatu yang baru. Kami nampak perniagaan ini mampu memberi pulangan lebih baik berbanding makan gaji, asalkan kita berusaha bersungguh-sungguh.

“Lados turut menawarkan pelbagai jenis sambal dan pes masakan dan antara produk paling popular ialah sambal kerang yang sering mendapat permintaan tinggi, selain itu setiap pengeluaran diusahakan dengan teliti dan kami tidak membuat pengeluaran besar-besaran kerana mahu mengekalkan kualitinya,” katanya ketika ditemui semasa program Mega Carnival Terbesar Borneo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Aneka produk sambal keluaran Lados.

“Baru-baru ini di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa (ITCC), kami menghasilkan 60 karton Sambal Kerang dan semuanya habis dijual dalam masa 15 hari sahaja dan produk lain turut mendapat sambutan hangat termasuk sambal Tuhau dan Sambal Ikan Masin.

“Kami sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan, termasuk peluang untuk menyertai pameran seperti Expo Halal Hub di Dubai dan Penang Halal Hub. Saya harap lebih ramai usahawan kecil mengetahui tentang geran dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan kerana peluang ini membantu mereka berkembang lebih jauh, ujarnya.

Tambahnya, program yang dianjurkan oleh kerajaan juga sangat membantu usahawan tempatan sepertinya untuk merancang pelan pemasaran yang strategik dalam usaha membina prestasi cemerlang produk Lados di pasaran yang lebih luas.

-RJ-

Tinggalkan komen anda