
Laporan/foto: Muhammad Irsyad Abd Majid/Nurul Habibah Hassan (Manjung)
MANJUNG, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Penubuhan Jawatankuasa Penduduk (JKP) yang berfungsi menyalurkan pelbagai bentuk dasar kerajaan berupaya mewujudkan jambatan persefahaman lebih terbuka antara penduduk dan pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Perak Sandrea Ng Shy Ching, Konvensyen Jawatankuasa Penduduk (JKP) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 2025 dan Peluncuran Pelan Tindakan Bandar Pintar Manjung 2035 yang berlangsung penuh gemilang di Dewan Merdeka Pusat Konvensyen MPM, di sini semalam adalah dua inisiatif penting yang melambangkan kesungguhan membawa daerah Manjung ke tahap lebih tinggi.

Sesi bergambar seusai majlis.
“Konvensyen ini berjaya menghimpunkan peserta daripada kalangan pemimpin tempatan, jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung, rukun tetangga serta agensi-agensi kerajaan.
“Ini dianggap sebagai permulaan yang baik buat MPM selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertanggungjawab terhadap pembangunan daerah Manjung,” katanya ketika berucap merasmikan majlis.
Jelasnya, ia bertujuan memperkasakan penglibatan komuniti dalam belanjawan partisipatif selaras hasrat kerajaan negeri menjadikan Manjung sebagai salah satu bandar pintar dengan penarafan yang lebih tinggi menjelang tahun 2040 sekali gus memastikan daerah ini berada di landasan tepat menuju ke arah bandar raya pelancongan dan maritim.
“Apabila komuniti diberi peluang untuk menyumbang pandangan dan membuat keputusan bersama, mereka bukan sahaja rasa dihargai malah memiliki rasa tanggungjawab yang lebih tinggi terhadap projek yang dilaksanakan,” katanya.

Manichalvan (kanan) bersama salah seorang peserta konvensyen.
Sementara itu, Ahli MPM Zon 8 Manichalvan Muniandy, 57, menzahirkan ucapan terima kasih kepada MPM atas penerimaan idea untuk menganjurkan program ini.
“Peranan ahli majlis sebagai penyambung komuniti dengan PBT amat penting dan perlu diperluaskan agar segala perancangan dan manfaat inisiatif kerajaan sampai kepada masyarakat,” katanya.
Turut hadir Orang Besar Jajahan Manjung Toh Seri Bijaya Lt. Kol. (B) Datuk Shaharudin Nazari dan Pegawai Daerah Shamsul Ridzuan Idris.
-ZS-