
Laporan/foto: Nur Shahrina/Pejabat Khidmat ADUN Serom (Tangkak)
TANGKAK, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Jualan Kasih Johor anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Serom dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Daerah Tangkak yang diadakan di Dataran Serom 3, di sini semalam, mendapat sambutan luar biasa dari pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berucap sempena program Jualan Kasih Johor di Dataran Serom 3, Tangkak
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga Negeri Khairin-Nisa Ismail, berkata program Jualan Kasih Johor merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan menerusi inisiatif ketiga Belanjawan Johor 2025 Jaringan Keselamatan Sosial.

Jualan Agro Madani oleh FAMA yang menawarkan pelbagai komoditi seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit dengan harga berpatutan
“Antara barangan yang mendapat perhatian adalah ayam yang dijual pada harga RM4.50 sekilogram, telur pada harga RM9 sepapan, minyak masak dua liter pada harga RM10 sebotol serta ikan dan hasil laut dengan potongan harga RM5 sekilogram.
“FAMA turut memperkenalkan Jualan Agro Madani yang menawarkan pelbagai komoditi seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit dengan harga yang berpatutan,” katanya.
Tambah Khairin-Nisa, inisiatif Jualan Kasih Johor ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk memastikan rakyat dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang lebih rendah terutama dalam menyambut perayaan besar seperti Tahun Baru Cina.
“Kita mahu semangat perpaduan dan keharmonian terus dipupuk dalam komuniti,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Pengarah FAMA Negeri Johor Norasidah Idris dan Pegawai FAMA Daerah Tangkak Mohd Arif Othman.
-AA-