
Laporan/foto: Wan Seman Wan Bedollah/Mohd Zulfadli Ab Hamid (Machang)
MACHANG, 29 Januari (MalaysiaAktif) – Kampung Kemunchup telah dipilih untuk mewakili Negeri Kelantan dalam Pertandingan Anugerah Aspirasi Desa Madani (ADM) peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada Februari depan.

Persembahan kertuk semasa lawatan muhibbah rombangan dari Kampung Perlis, Balik Pulau, Pulau Pinang
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) dan Setiausaha Komuniti Madani Kemunchup Ahmed Jusoh, berkata kejayaan kampung bermula di peringkat negeri baru-baru ini telah membolehkan mereka menerima hadiah berjumlah RM30,000.
“Kita mempunyai perancangan untuk mengadakan kerjasama bersama persatuan-persatuan di kampung ini seperti Komuniti Madani, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan belia dan NGO lain bagi mempersiapkan diri menghadapi pertandingan yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya semasa menerima kunjungan komuniti dari Kampung Perlis, Balik Pulau, Pulau Pinang di Taman Rekreasi Kemunchup, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) merangkap Setiausaha Komuniti Madani Kemunchup, Ahmed Jusoh
“Kami akan menggunakan pengalaman dan kejayaan selama berbelas tahun Kampung Kemunchup dalam pelbagai pertandingan sebelum ini yang telah meraih kemenangan dalam beberapa pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan,” ujarnya.
Antara kejayaan yang telah menaikkan nama Kampung Kemunchup di peringkat daerah ialah tempat Kedua Pertandingan Gerakan Desa Wawasan (2005), Johan Pertandingan Keceriaan Kampung (2006), Johan Anugerah Desa Cemerlang (2007), Tempat Kedua Pertandingan Kibar Jalur Gemilang (2012) dan Johan Anugerah Desa Sejahtera (2014).
Selain itu, kampung ini turut meraih Johan dalam Anugerah Desa Cemerlang (2007), Tempat Kedua dalam Pertandingan Kibar Jalur Gemilang (2010), Johan Konvensyen Combi Denggi (2011), Johan Pertandingan Pintu Gerbang (2015), Johan Pertandingan Kawasan Rukun Tetangga (2016), Johan Konvensyen Kospen (2016) dan terkini, Johan Anugerah Aspirasi Desa Madani (2024).
Kejayaan di peringkat kebangsaan pula, Kampung Kemunchup pernah dinobatkan sebagai Johan dalam Anugerah Desa Cemerlang pada tahun 2018.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Penerangan Daerah Machang Wan Seman Wan Bedollah dan Ketua Komuniti Madani Kemunchup Mohd Nawai Syahal.
-AA-