Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Karnival Kerjaya Bagan Datuk Terima Sambutan Menggalakkan

By 13 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)

HUTAN MELINTANG, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Karnival Kerjaya My Future Jobs Bagan Datuk 2025 yang diadakan selama dua hari di Dewan Serbaguna Dato Haji Abdullah Ahmad, di sini bermula Sabtu menerima sambutan yang menggalakkan daripada pencari pekerjaan.

Abdul Rahman ketika berucap

Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Abdul Rahman Mohamad, berkata penganjuran kali ini KESUMA berusaha merancakkan pasaran buruh negara melalui pelbagai inisiatif termasuklah dengan menganjurkan karnival kerjaya.

“KESUMA menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya mengumpulkan lebih 20 majikan yang menawarkan lebih 5,400 peluang pekerjaan kepada anak-anak Perak.

Antara majikan yang menyertai Karnival Kerjaya My Future Jobs Bagan Datuk

“Malah KESUMA melalui PERKESO sentiasa giat melaksanakan program reskilling (kemahiran semula) dan upskilling (peningkatan kemahiran) untuk melahirkan pekerja berkualiti bagi memenuhi keperluan pasaran kerja semasa,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, inisiatif ini bertujuan memastikan pencari kerja dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan industri sekaligus meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berharap program ini berjaya membantu penduduk tempatan khususnya belia dan graduan yang sedang mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran dan memulakan kerjaya.

“Usaha berterusan ini akan menjadi titik permulaan kepada pembangunan ekonomi serta kelestarian tenaga kerja di Malaysia.

“Melalui pendekatan holistik ini kita berupaya mewujudkan lebih banyak peluang terutamanya kepada rakyat negeri Perak dalam meningkatkan taraf hidup mereka,” ujar beliau ketika berucap merasmikan majlis, kelmarin.

Zahid menzahirkan ucapan tahniah kepada KESUMA dan PERKESO atas kolaborasi strategik menjayakan program yang julung kali diadakan sebagai pembuka wadah bagi tahun 2025.

-AA-

Tinggalkan komen anda