
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SELAYANG, 5 Jan (Malaysiaaktif) – Kementerian Digital menyifatkan kehadiran tahun 2025 sangat penting dalam usaha kementerian tersebut memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan digital dalam kehidupan seharian.

Gobind sedang mengagihkan buah limau kepada orang ramai di Pasar Harian Selayang Jaya
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pelbagai program telah dirangka terutama aspek kerajaan membantu dalam kehidupan setiap hari.

Gobind sedang menyerahkan limau kepada seorang peniaga di Pasar Harian Selayang Jaya
“Salah satu aspeknya adalah peranan kerajaan membantu peniaga-peniaga khasnya peniaga kecil dan sederhana (SME).
“Melalui data yang kita ada, perniagaan baharu ini menggunakan platform digital menjadikan pasaran mereka lebih luas, lancar dan efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas program edaran limau di Pasar Harian Selayang Jaya, di sini hari ini.
Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara memaklumkan pihaknya telah memulakan program latihan kepada pelajar, ibu bapa dan guru.
“Ini juga akan menjadi inisiatif kementerian kami pada tahun ini.
“Kalau kita semua boleh lihat teknologi untuk memperkasakan perniagaan dan kehidupan, kita akan lihat perubahan yang besar,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun Kementerian Digital baharu setahun ditubuhkan namun pihaknya dapat mewujudkan satu struktur yang akan membawa polisi ke depan tahun ini.
-AA-