
Laporan/Foto: Hendry NurdinMahader Lahaire/Mohd Shakir Salleh (Sabah)
LAHAD DATU, 13 Jan 2025 (MalaysiaAktif) – Kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya denggi kunci utama untuk memastikan wabak ini dapat dibendung dengan mengoptimumkan peranan serta tanggungjawab semua pihak.
Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Datuk Mizma Appehdullah berkata bahawa langkah proaktif seperti gotong-royong perlu sentiasa digerakkan terutama melibatkan pemimpin dan komuniti di peringkat akar umbi.
Tambahnya, segala usaha seperti kempen, taklimat dan program yang dilaksanakan akan menjadi sia-sia sekiranya segelintir pihak masih tidak peka terhadap tanggungjawab mereka membantu mengawal wabak ini.

Mizma menyampaikan amanat khas dan nasihat kepada penduduk kampung yang terlibat.
“Gotong-royong seperti ini adalah langkah awal untuk kita bersama membina tembok pertahanan melawan wabak denggi demi melindungi keluarga dan jiran-jiran kita. Persepsi bahawa wabak ini hanya berlaku di kawasan padat atau setinggan perlu dikikis kerana denggi tidak memilih kawan atau lawan,” tegasnya.
“Sejak beberapa bulan lalu, anggota Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama giat turun padang bersama pemimpin masyarakat dan penduduk kampung untuk mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk, khususnya di lokaliti panas yang sering menjadi kawasan wabak denggi,” jelasnya ketika berucap semasa Program Gotong Royong Jawatankuasa Wabak Denggi Daerah Lahad Datu di Kampung Burung, di sini pada Ahad.
Sementara itu, setakat 12 Januari 2025, Daerah Lahad Datu merekodkan kes denggi tertinggi di Sabah dengan 25 kes kumulatif iaitu empat kes terbaru dilaporkan di Kampung Tawaiyari.
Dalam pada itu, wakil Pejabat Kesihatan Kawasan Daerah Lahad Datu, Dr. Mohammad Azimuddeen Mohd Azeli berharap semua pihak mengambil serius isu berkaitan denggi termasuk mengenal pasti gejala awal pesakit untuk rawatan awal.
“Peningkatan kes denggi menjadi isyarat kepada kita semua untuk bertindak segera. Kami berharap penduduk terus komited menjaga kebersihan dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk. Sebarang gejala seperti demam tinggi, sakit otot atau ruam perlu diberi perhatian serius dengan mendapatkan rawatan segera,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Burung, Raisah Usman, 59, berkata, program gotong-royong di kampung berkenaan akan dilaksanakan secara berkala dengan kerjasama penduduk pelbagai peringkat umur.
“Kami berharap Kampung Burung akan menjadi contoh kepada kampung lain dalam usaha kita untuk bebas dari wabak denggi. Langkah seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran, tetapi juga memperkukuhkan hubungan kejiranan. Semangat gotong-royong ini perlu dikekalkan demi kebaikan bersama,” ujarnya.

Sekitar suasana program gotong-royong di Kampung Burung, Lahad Datu di sini semalam.
Untuk makluman, program gotong-royong tersebut berjaya dilaksanakan melibatkan lebih 200 penduduk dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi seperti Jabatan Penerangan, Pejabat Kesihatan, Majlis Daerah, dan Pejabat Pemimpin Pembangunan Masyarakat.
Selain aktiviti gotong-royong, turut diadakan taklimat khas dari Jabatan Kesihatan, hebahan, dan edaran risalah kesedaran melalui program Info on Wheels oleh Jabatan Penerangan Lahad Datu.