
Laporan/foto: Mohammad Hafizee Md Hashim/Muhammad Azrul Hafiz Mohamad Nazri (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 26 Jan (MalaysiaAktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa melakukan pemantauan harga barangan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025.

Fuziah menunjukkan ayam yang ditawarkan di bawah harga Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.
Timbalan Menteri KPDN Senator Dr. Fuziah Salleh mengingatkan peniaga supaya mematuhi label harga merah jambu yang merupakan barangan harga terkawal.
“Kita akan melaksanakan skim ini sebanyak enam kali setahun iaitu pada musim-musim perayaan yang besar seperti Hari Raya Puasa, Krismas, Tahun Baru Cina, Pesta Kaamatan, Deepavali dan Hari Gawai.
“Skim harga maksimum dilaksanakan kerana pada ketika ini terdapat permintaan yang tinggi untuk barangan tertentu, jadi apabila permintaan tinggi kepada barang-barang keperluan untuk musim perayaan tersebut, maka besar kemungkinan harganya juga akan naik,” katanya.
Fuziah berkata demikian selepas melakukan pemantauan penguatkuasaan SHMMP sempena Perayaan Tahun Baru Cina di Pasar Raya Econsave Scott Garden, Jalan Klang Lama, di sini semalam.

Fuziah sedang menyemak harga barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan.
Menurutnya lagi, pihak kementerian juga telah menambah senarai daripada 11 barangan yang dihadkan harganya pada tahun lepas kepada 16 barangan yang akan dikawal di bawah SHMMP pada tahun ini.
Tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 bermula semalam selama sembilan hari iaitu empat hari sebelum perayaan, sehari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.
KPDN turut memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan maklumat lengkap berkaitan ketidakpatuhan ke atas skim tersebut.
-ZS-