Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

Kraf Biji Dalai, Sumber Pendapatan Suri Rumah

By 28 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Isnaniwati Ginulis/ Norhayati Abdullah (Keningau)

KENINGAU, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Tiada siapa menyangka hobi membuat perhiasan daripada biji dalai bertukar menjadi sumber pendapatan yang menguntungkan.

Menyedari potensi  ini, surirumah, Norhayati Abdullah, 51, berkata, pembuatan kraftangan menggunakan bahan semulajadi memberi keunikan dan kelebihan tersendiri kepada produk yang dihasilkan.

Norhayati sering memenuhi jemputan bagi berkongsi ilmu tentang asas pembuatan kraf dalai kepada komuniti yang berminat.

Jelasnya, selain digunakan sebagai herba untuk menyembuhkan penyakit, dalai mempunyai ramai peminat yang turut dikenali sebagai ‘Mutiara Rimba Borneo’.

“Saya memang menyukai alam semula jadi. Bagi saya, alam semula jadi menawarkan anugerah yang luar biasa. Salah satu daripadanya adalah dalai, yang dikenali sebagai ‘Mutiara Rimba Borneo’ atau ‘Pearls of the Borneo Jungle’.

“Melalui usaha kraf dalai ini, saya percaya kita bukan sahaja dapat menghasilkan produk yang unik, tetapi juga dapat membantu dalam usaha kelestarian alam dan ini memberi nilai tambah kepada sumber semula jadi ini tanpa merosakkannya,” katanya ketika ditemui di rumhnya di Kampung Ritting di sini pada Isnin.

Antara koleksi kraf tangan yang dihasilkan daripada biji dalai.

Ibu kepada lima orang anak ini tidak pernah menyangka bahawa hobinya itu kini menjadi sumber pendapatan utama bagi keluarganya yang sentiasa memberi sokongan.

“Dengan sokongan padu daripada suami dan rakan-rakan, saya mula mengorak langkah dengan memasarkan hasil kraf ini secara kecil-kecilan.

“Saya berazam untuk terus mengembangkan perniagaan dan berharap dapat memberi inspirasi kepada orang lain agar berani mengejar impian mereka melalui kreativiti dan usaha yang gigih,” ujarnya.

Antara produk perhiasan yang dihasilkan daripada dalai.

Norhayati juga menyertai pelbagai program yang dianjurkan oleh kerajaan dan pihak swasta dengan memanfaatkan platform seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Penglibatan  secara aktif di dalam Komuniti MADANI dan menyertai Program Sejati MADANI membolehkan beliau memperluaskan perniagaan kraf dalai di samping memanfaatkan medium digital.

 

-RJ-

Tinggalkan komen anda