
Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani/Mohd Shahrizan Shahabudin (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI BAKAP, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Karnival Warisan Anak Muda Pulau Pinang yang diadakan di Pasaraya C-Mart, Bandar Tasek Mutiara menerima sambutan hebat daripada penduduk sekitar dan luar.

YB Daniel beramah mesra di reruai Jabatan Penerangan Pulau Pinang
Program ini dianjurkan oleh Ahli Parlimen Belia Malaysia dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang, Majlis Belia Malaysia dan Penang Youth Development Centre (PYDC).

Antara pengunjung yang hadir
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang merangkap Exco Belia, Sukan Dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen, program sebegini dapat mengajak dan melibatkan golongan belia melakukan aktiviti sihat dan berfaedah.
“Pertubuhan belia sedia ada memainkan peranan penting menjadi peneraju kepada golongan belia bagi bersama-sama menghadapi cabaran peredaran masa, zaman dan penggunaan teknologi.
“Saya percaya usaha gigih yang dimainkan oleh pertubuhan belia kita mampu memimpin golongan belia ke arah yang lebih progresif supaya kejayaan anak-anak muda bakal menjamin masa hadapan yang lebih baik untuk diri sendiri, keluarga dan negara” katanya ketika ditemui menyempurnakan majlis perasmian, semalam.
Pengunjung karnival, Fatehah Abdullah, 26, berasa teruja dan gembira dengan penganjuran karnival seperti ini kerana terdapat pelbagai aktiviti menarik seperti acaran larian, pameran jabatan dan agensi kerajaan, pertandingan mewarna, E-sport dan pelbagai lagi dan berharap karnival seperti ini dapat dianjurkan setiap tahun.
-AA-