
Laporan/foto: Khairul Othman/Shaharuddin Daud (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Seramai 140 peserta dari seluruh negara menyertai Pertandingan Liga Penalti Terbuka Negeri Sembilan anjuran Ladang Halia Kuala Pilah Resources dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah serta Majlis Daerah Kuala Pilah kelmarin.

Antara para peserta di peringkat saringan
Pertandingan yang julung kali diadakan sempena Sambutan Hari Keputeraan Ke-77 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menawarkan hadiah lumayan sebanyak RM 8,000 bagi johan pertandingan.

Perlawanan akhir Liga Penalti
Pertandingan peringkat saringan yang diadakan secara kalah mati ini diadakan di padang SK Tunku Laksamana Nasir turut mendapat perhatian para pengunjung.
Menurut Nawal Mohamed Amin Pegawai Daerah Kuala Pilah ketika ditemui, berkata acara ini bukan sahaja untuk meraikan Hari Keputeraan Ke-77 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tetapi juga sebagai jambatan untuk menarik minat masyarakat di luar Negeri Sembilan untuk datang ke daerah Kuala Pilah serta dapat mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan belia.
“Malah banyak aktiviti berbentuk pendidikan, keseniaan, kebudayaan, keagamaan, sukan tradisi dan moden diadakan dalam sambutan kali ini bermula 9 Januari hingga 1 Februari 2025,” ujarnya.
Keputusan pertandingan ini menyaksikan peserta dari Shah Alam, Selangor menjadi juara manakala naib juara pula dari peserta Ayris FC A dari Kuala Pilah dan tempat ketiga dari kumpulan CCTV A dari Tumpat, Kelantan.
-AA-