
Laporan/foto: Saipul Nizam Ibrahim/Mohd Zahid Othman (Iskandar Puteri)
ISKANDAR PUTERI, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Tadika Agama Johor (TAJ) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Negeri kali ke-14, di Stadium Arena Sukan Educity sebagai penutup tirai untuk meraikan kejayaan cemerlang anak-anak yang telah berjaya khatam Al-Quran, di sini semalam.
Majlis yang berlangsung setiap tahun ini turut menjadi platform untuk mengiktiraf usaha dan pencapaian pelajar serta guru yang terlibat dalam pendidikan agama, khususnya dalam pembelajaran Al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor semasa menyampaikan ucapan
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid, berkata seramai 323 guru TAJ dari 205 buah sekolah agama di seluruh negeri Johor telah memainkan peranan penting dalam membimbing sebanyak 848 orang pelajar yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran seawal usia 6 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor (dua dari kanan)
Majlis khatam ini bukan sahaja memberi ruang untuk meraikan pencapaian pelajar, tetapi juga menggalakkan semangat kecemerlangan dalam pendidikan agama di peringkat awal.
Tahniah kepada semua pihak yang terlibat, termasuk guru-guru dan ibu bapa, atas sokongan serta usaha tanpa henti dalam memastikan kejayaan anak-anak didik ini.
Pesara tentera, Kamal Husin, 72, dari Pontian, berkata walaupun menghadapi kesukaran akibat penyakit strok yang dihadapinya dua tahun lalu, beliau tetap bertekad untuk memberikan sokongan kepada cucunya yang turut mengambil bahagian dalam majlis khatam tersebut.
“Kedatangan saya hari ini adalah untuk memberi semangat dan sokongan kepada cucu tanpa mengira kepayahan yang ditempuh untuk hadir ke majlis ini,” ujarnya.
Juruteknik, Mohd Rizal Md Rais, 35, berasa amat teruja dapat hadir bagi menghadiri majlis khatam Al-Quran anak sulung yang bersekolah Agama Tengayun, Pontian.
“Moga kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk terus mendalami ilmu Al-Quran dan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian,” katanya.
Turut hadir Mufti Negeri Johor Sohibus Samahah Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Nasri Md Ali.
-AA-