
Laporan/foto – Mohamad Farid Izwan/Rozita (Sarawak)
MATU, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Mang, atau Mud Lobster, yang dikenali secara saintifik sebagai Thalassina anomala, merupakan sejenis haiwan yang hidup di kawasan paya bakau dan tanah berlumpur di pesisir pantai dan juga dikenali sebagai ‘ketam lumpur’ atau ‘udang tanah’ di Malaysia.
Tahun ini, daerah Matu dan Daro turut dilanda banjir akibat hujan lebat dan keadaan ini memberi peluang kepada penduduk setempat untuk memburu mang bagi dijadikan menu masakan khas ketika musim tengkujuh.

Aini Basni menunjukkan Mang hasil tangkapannya semalam.
Menurut salah seorang pemburu mang, Aini Basni, 43 tahun, mang selalunya keluar dari sarangnya ketika musim hujan atau banjir dan jarang ditemui pada hari biasa.
“Penduduk setempat yang tinggal di kawasan ini biasanya akan berduyun-duyun turun ke kawasan berpaya untuk menangkap mang, sama ada untuk dijual atau dijadikan juadah seisi keluarga,” tambahnya.
Kepelbagaian resepi masakan eksotik mang menjadikannya hidangan yang menarik untuk dinikmati, terutamanya ketika musim tengkujuh.

Mang, makanan eksotik yang memiliki rasa unik.
Antara resepi popular ialah mang masak kicap, yang memiliki rasa unik dan tekstur kenyal, memberikan pengalaman gastronomi yang berbeza, menjadikannya pilihan istimewa bagi penggemar makanan eksotik.
Walaupun musim tengkujuh membawa cabaran, ia turut membuka peluang kepada penduduk setempat untuk menjana pendapatan melalui hasil jualan mang