
Laporan/foto: Shaik Mohamad Fikri Shaik Ismail (Kemaman)
KEMAMAN, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan mendorong Yayasan Taqwa bersama beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Prihatin Terengganu, Pertubuhan Cakna Umat Terengganu (PECUT) dan Komuniti MADANI Kampung Sungai Mak Ikar untuk terus menyantuni mangsa banjir di sekitar Kemasik.

Pengerusi Pertubuhan Cakna Umat Terengganu (PECUT) berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mangsa banjir di Kemasik
Pada majlis ringkas yang diadakan di Tapak Pasar Tani Kekal FAMA Kertih, di sini kelmarin, seramai 100 orang mangsa banjir di kawasan tersebut menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan asas dan toto.

Pengerusi Prihatin Terengganu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir
Pengerusi Pertubuhan Cakna Umat Terengganu (PECUT) yang juga Ketua Komuniti MADANI Kampung Sungai Mak Ikar Muzahar Hitam, 62, berkata NGO berperanan sebagai pelopor dalam memberi bantuan kepada mangsa banjir, baik dari segi barangan keperluan asas, bantuan perubatan atau sokongan psikologi.
“Semoga bantuan seperti ini dapat meringankan beban mangsa banjir dalam menghadapi ujian ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Prihatin Terengganu Zulkifli Ali, 63, berkata walaupun bantuan yang diberikan tidak setimpal dengan kesukaran yang dihadapi mangsa, ia sekurang-kurangnya menunjukkan sikap positif masyarakat yang tampil membantu tanpa mengira latar belakang.
“Terima kasih kepada semua pihak termasuk orang awam, NGO, GLC dan badan korporat yang telah menyumbang bantuan kepada mangsa bencana ini,” ujarnya.
-AA-