
Laporan/Foto: Kasmini Hasbi/ Lydia Humphery Tungkat (Sarawak)
KUCHING, 28 Jan (MalaysiaAktif) – Terselamat daripada penyakit kanser merupakan satu anugerah yang sangat berharga. Seperti yang diketahui, kanser atau barah adalah penyakit yang boleh bermula di mana-mana bahagian tubuh badan manusia.
Berkongsi pengalamannya, bekas pesakit kanser serviks tahap dua, Sylvia Juras, 62 tahun, berkata beliau tidak menyangka keputusan ujian yang dilakukan mengesahkan bahawa beliau menghidap kanser tersebut.

Sylvia berkata kaum wanita hendaklah berani melakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya mengalami tanda-tanda awal penyakit.
“Walaupun saya telah mengalami beberapa petanda awal, saya agak lewat melakukan pemeriksaan dan sepatutnya, pemeriksaan dilakukan lebih awal, terutama bagi pasangan yang sudah berkahwin.
Malah, sebagai wanita, kita perlu menjalani pemeriksaan sebagai langkah pencegahan,” jelas Sylvia ketika ditemui semalam selepas berkongsi kisah hidupnya sebagai seorang pejuang kanser di Program Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Kebangsaan 2025.
Sylvia yang merupakan pesara jururawat di Hospital Umum Sarawak, menambah bahawa perasaan takut atau gentar sedikit sebanyak menghalang wanita untuk menjalani pemeriksaan.
Katanya, apabila beliau disahkan menghidap kanser serviks, beliau teruskan dengan rawatan dan mengikuti arahan pegawai perubatan.
“Sekiranya kita dilanda penyakit, beritahulah ahli keluarga dan rakan-rakan kerana mereka akan mendoakan kesihatan kita dan memberi sokongan moral dan tidak memendamkan masalah kesihatan kepada diri sendiri,” ujar Sylvia.
Sylvia turut menyeru kaum wanita agar lebih peka terhadap kesihatan diri dan menjalani pemeriksaan awal untuk memastikan rawatan pencegahan dapat dilakukan sebelum terlambat.
-RJ-