
Laporan/foto: Nurulaini/Norasilah (Kulai)
KULAI, 4 Jan (MalaysiaAktif) – Seramai 200 keluarga menerima sumbangan bakul makanan manakala 200 orang pelajar menerima bantuan peralatan sekolah dalam Program Kampung Angkat Madani Felda Bukit Permai bertempat di Dewan Felda Bukit Permai di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching ketika menyampaikan ucapan perasmian program Kampung Angkat MADANI di Felda Bukit Permai pagi tadi
Program anjuran Kementerian Komunikasi dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Pejabat Ahli Parlimen Kulai, Pengurusan Felda Bukit Permai, Yayasan Taqwa Wilayah dan Kelab Kebajikan Legasi Prihatin ini bertujuan membantu masyarakat serta memastikan keberkesanan pelaksanaan program kampung angkat ini mencapai objektif dan sasarannya.

Penerima sumbangan bakul makanan seramai 200 orang
Timbalan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, berkata Program Kampung Angkat ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri Malaysia untuk memastikan setiap pemimpin kerajaan Madani menjaga sebuah kampung.
“Selain meningkatkan potensi kampung dan keupayaan masyarakat melalui libat urus pemimpin bersama penduduk, objektif utama program ini adalah untuk memperkaya sikap cakna pemimpin bagi menyantuni dan menjadi suri teladan kepada kampung angkat,” katanya.
Program Jualan Rahmah juga diadakan pada hari ini yang menawarkan jualan barangan keperluan harian pada harga yang rendah kepada penduduk Felda Bukit Permai yang ingin mendapatkan barangan seperti beras, ayam, telur, minyak masak dan lain-lain.
Turut hadir Pengarah Wilayah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohamad Rizal Ahmad, Pengarah Penerangan Johor Saiful Hisham Mansor, Pengerusi Kelab Kebajikan Legasi Prihatin Amarul Hafis Yahya, Pengurus Felda Bukit Permai Ikhwan Syaffiq Ahmad Sayuti, Ketua Peneroka Felda Bukit Permai Mohd Haris Mohd dan Ketua Kampung Felda Bukit Permai Zakaria Kalid.
-AA-