
Laporan/foto: Mawarni Ismail/Alif Hamid (Barat Daya)
BATU MAUNG, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Kuliah Dhuha oleh penceramah terkenal, Ustaz Shamsul Debat menjadi tumpuan utama sempena Karnival Sungai Ara Madani 2025 yang berlangsung di Masjid Al-Huda, Sungai Ara, semalam.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 ketika menyampaikan ucapan perasmian
Bertemakan Masyarakat Sepakat, Kehidupan Bermanfaat, ceramah hampir dua jam itu berjaya menarik perhatian hampir 300 penduduk setempat yang terhibur dengan penyampaian santai dan humor Ustaz Shamsul, sambil mendalami ilmu agama yang disampaikan.

Shamsul Debat ketika menyampaikan Kuliah Dhuha
Menurut seorang penduduk, Yusmar Ismail, 46, program ini sarat dengan pengsisan yang positif.
“Gaya penyampaian Ustaz Shamsul yang bersahaja dan menghiburkan menjadikan kuliah dhuha ini sangat menarik.
“Saya dapat banyak ilmu, terutama tentang kepentingan kesepakatan dalam masyarakat dan bagaimana keberkatan memainkan peranan penting dalam kehidupan,” katanya.
Selain ceramah, karnival anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bayan Baru dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Batu Maung serta Kariah Masjid Al-Huda itu turut menawarkan pelbagai aktiviti seperti pameran agensi kerajaan, jualan Rahmah MADANI, pemeriksaan kesihatan percuma, kempen derma darah, servis tukar minyak motosikal serta jualan makanan dan minuman.
Program ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap ADUN Batu Maung, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid, yang meluangkan masa bersama penduduk setempat.
-AA-