Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Penghayatan al-Quran Bentuk Masyarakat Harmoni Dan Cintakan Kedamaian

By 24 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hendry Nurdin/Mahader Lahairie/Shakir Mohd Salleh (Lahad Datu)

LAHAD DATU, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Umat Islam diseru agar terus mendalami dan menghayati isi kandungan al-Quran dalam usaha membentuk masyarakat yang saling menghormati dan mengutamakan kedamaian dalam kehidupan seharian.

Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen@Benetty Mohd Dzul berkata, penghayatan terhadap al-Quran bukan hanya tertumpu pada membaca atau menghafal semata-mata.

Jelasnya, al-Quran perlu memahami isi kandungannya dan mengaplikasikan ajarannya selaras dengan nilai agama yang disemai melalui Majlis Tilawah al-Quran.

Antara tetamu yang hadir dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Lahad Datu.

“Menjadikan al-Quran sebagai teras kehidupan akan membantu individu menghargai kepentingan membina hubungan baik dengan sesama manusia tanpa mengira agama, bangsa, atau latar belakang,”

“Matlamat utama majlis ini adalah untuk memperkukuh kecintaan kita terhadap al-Quran. Selain sebagai pentas pertandingan, ia juga sebagai peringatan kepada umat Islam bahawa al-Quran adalah panduan utama yang dapat membawa kita ke jalan yang benar dan diredhai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Lahad Datu yang berlangsung di Masjid Ar-Raudhah di sini pada Rabu.

Sementara itu, johan kategori qari, Sukiman Lasulu, 43, menzahirkan kesyukuran atas kejayaannya itu dan berazam untuk membuat yang terbaik untuk peringkat bahagian.

“Saya berazam memperbaiki teknik bacaan penghayatan serta persiapan diri secara mental dan rohani. Semoga saya dapat membawa nama Lahad Datu ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Pemenang kategori qariah, Ranggina bersama hadiah dan sijil yang diterimanya.

Selain itu, johan kategori qariah, Ranggina Mariam Mustari,25, menyifatkan kemenangan tersebut sebagai hadiah untuk keluarga dan guru-guru yang telah banyak membimbingnya.

“Kemenangan ini bukan hanya untuk saya, tetapi juga hadiah untuk keluarga dan guru yang sentiasa menyokong dan memberi dorongan,” ujarnya.

Dianggarkan seramai 300 orang hadir menyaksikan Pertandingan MTQ tersebut dan pemenang kategori qari dan wariah masing-masing akan mewakili Lahad Datu ke Peringkat Bahagian Tawau yang dijadualkan pada 5 Februari 2025.

-RJ-

Tinggalkan komen anda