
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh
PASIR MAS, 11 Jan (Malaysiaaktif) – Peningkatan kes jenayah di kawasan berhampiran sempadan terus menjadi kebimbangan penduduk setempat terutama yang tinggal berhampiran sempadan negara jiran.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas Supt. Nik Aminuddin Raja Abdullah, kes jenayah seperti pecah rumah sering berlaku di kawasan ini, namun permasalahan ini dapat dikawal melalui kempen pencegahan bersama komuniti.

Supt. Nik Aminuddin (kiri) bersama Mohd Anuaris (tengah) dan Salleh @ Bustaman Hamat.
“Bahagian Pencegahan Jenayah sentiasa bekerjasama dengan komuniti untuk memastikan keselamatan kawasan terjaga di mana usaha ini bertujuan mengurangkan kerisauan dan memberi jaminan kepada penduduk mengenai keselamatan persekitaran mereka,” katanya pada Program Pencegahan Jenayah dan Jom Ronda Sempadan Bersama Pemimpin di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Meranti, di sini kelmarin.
Tambahnya, Unit Pencegahan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas sentiasa bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk rondaan dan kawalan keselamatan.
“Pihak polis juga komited mengesan dan menangkap suspek bagi dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.
Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Kelantan Mohd Anuaris Mohd Yusuf @ Mustapha, berkata program seperti ini bertujuan memperkasakan peranan ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) dalam membantu mencegah aktiviti jenayah.

Supt. Nik Aminuddin ketika menyampaikan ucapan.
“Kerjasama erat antara SRS dan polis akan mewujudkan persekitaran yang selamat dan harmoni. Masyarakat kini boleh tidur nyenyak tanpa rasa bimbang,” katanya.
Pengerusi KRT Meranti, Salleh Bustaman @ Hamat, turut menyokong inisiatif ini.
“Jika sebelum merdeka ada unit kawalan kampung, kini, SRS mengambil alih tanggungjawab itu bagi memastikan ketenteraman kampung terpelihara,” katanya.
Program anjuran JPNIN Kelantan bersama IPD Pasir Mas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Mas itu dihadiri lebih 150 peserta termasuk ahli SRS dari seluruh daerah Pasir Mas.
-ZS-