
Laporan/foto: Hamidah Hamid (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Penganjuran Pertandingan Bola Sepak dan Bola Jaring’3 on 3 yang diadakan sempena Sambutan Keputeraan ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir menjadi medan mencari bakat bagi Kejohanan Sukan Negeri Sembilan (Suknes) 2025 nanti.

Pemenang naib juara Pertandingan Bola Jaring 3 on 3, Dragonite NC.
Menurut Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kuala Pilah Nor Rasyidi Haji Ramzan, penyertaan pada kali ini amat memberangsangkan dengan jumlah peserta menghampiri 200 orang.
“Dengan mengadakan pertandingan seperti ini para pencari bakat mempunyai ruang untuk mengenal pasti peserta yang sesuai untuk mewakili setiap DUN di Daerah Kuala Pilah dan seterusnya ke peringkat Sukan Negeri Sembilan.
“Harus diingatkan juga peluang bertanding dalam skala yang besar sebegini juga memerlukan tubuh badan yang sihat dan cergas. Dari situ kita mampu melahirkan warganegara yang produktif serta berkeupayaan memberi sumbangan terhadap negara, demi kesejahteraan negara yang kita cintai ini,” katanya, di sini semalam.

Pasukan KoPilah Kopi menjuarai pertandingan Bola Sepak 3 on 3.
Pertandingan Bola Sepak 3 on 3 diungguli pasukan KoPilah Kopi dengan membawa pulang hadiah berjumlah RM500, manakala pasukan LOLA pula telah merangkul gelaran juara bagi pertandingan Bola Jaring 3 on 3 dengan membawa pulang hadiah juga berjumlah RM500.
-ZS-