
Laporan/foto: Mohd Faizal Mat Akhir (Timur Laut)
GEORGE TOWN 24 Jan (MalaysiaAktif) – Usaha berterusan kerajaan untuk membantu rakyat meringankan beban menjelang perayaan Tahun Baru Cina direalisasikan melalui Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) bergerak Parlimen Tanjong yang berlangsung dengan meriah di hadapan Maybank Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di sini kelmarin.

Barangan dijual dengan harga lebih rendah berbanding pasaran.
Program ini mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat yang memanfaatkan peluang membeli barangan keperluan dengan harga lebih rendah, sejajar dengan matlamat PJRM untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Seorang penduduk tempatan, Tan Sue Yong, 42, menyifatkan program ini mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat yang berpendapatan sederhana dalam membuat persiapan menyambut perayaan.

Tan Sue Yong kanan, bersama anaknya membeli barangan keperluan untuk sambutan Tahun Baru Cina.
“Pelbagai barangan keperluan harian seperti minyak masak, beras, dan telur dijual pada harga yang jauh lebih berpatutan berbanding harga pasaran.
“Sudah tentu ini memberi kami peluang untuk berjimat dan menyambut Tahun Baru Cina dengan lebih tenang,” katanya.
-ZS-