
Laporan/foto: Halimah Abd Ghani (Timur Laut)/Shamsul Bahari Abdul Shukor
JELUTONG, 12 Jan (Malaysiaaktif) – Pulau Pinang melakar satu lagi sejarah baharu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Bandar Sri Pinang, semalam.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri hadir merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara di Bandar Sungai Pinang
Ketibaan beliau disambut meriah oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan barisan pemimpin tempatan yang hadir menyaksikan detik penting ini.
Projek LRT Laluan Mutiara yang dinantikan sekian lama ini bakal mengubah landskap pengangkutan awam Pulau Pinang, melibatkan pembinaan 21 stesen termasuk dua stesen utama iaitu Stesen Komtar dan Penang Sentral.
Dengan pelaksanaannya, ia dijangka menjadi penyelesaian tuntas kepada masalah kesesakan lalu lintas yang menghantui penduduk negeri ini.

Sesi bergambar diakhir majlis
Penduduk tempatan, Bakar Zakaria, 56, turut menyuarakan harapan tinggi terhadap kejayaan projek ini.
“Jika projek ini dapat disiapkan seperti yang dirancang, masalah kesesakan jalan raya pasti akan dapat diatasi dengan lebih efektif,” katanya.
Projek mega ini yang dikendalikan oleh MRT Corp di bawah Kementerian Kewangan, dijadualkan mula beroperasi pada Disember 2031.
Selain menjanjikan sistem pengangkutan yang lebih efisien, ia juga diyakini mampu membuka ribuan peluang pekerjaan baharu serta merancakkan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang, menjadikan negeri ini lebih dinamik dan berdaya saing.
-AA-