Laporan: Hendry Nurdin
Foto: Mahader Lahaire/Mohd Shakir Salleh (Sabah)
LAHAD DATU, 15 Jan 2025 (MalaysiaAktif) – Masyarakat diseru untuk terus menjadikan sambutan perayaan pelbagai kaum sebagai tonggak utama dalam memperkukuh keharmonian serta memelihara perpaduan di negeri Sabah.
Menurut Pemimpin Pembangunan Masyarakat Segama, Datuk Mizma Appehdullah, perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Pesta Kaamatan, Deepavali, dan Krismas bukan sahaja mempererat hubungan dalam kalangan komuniti tetapi juga memberi peluang kepada rakyat untuk berkongsi kegembiraan.
Tambahnya, meraikan perayaan semua kaum tidak hanya melibatkan penghormatan terhadap tradisi dan budaya tetapi juga mencerminkan semangat solidariti sebagai satu bangsa Malaysia.
“Sabah adalah contoh terbaik perpaduan kaum di Malaysia dan ini terbukti melalui sambutan perayaan yang melibatkan semua masyarakat tanpa mengira agama atau etnik. Ia diraikan bersama-sama sebagai tanda hormat terhadap budaya dan tradisi masing-masing.
“Kerajaan Negeri Sabah akan terus menyokong dan memberikan bantuan sewajarnya dalam penganjuran acara perayaan kaum di Lahad Datu. Harapan kami, acara-acara ini dapat memperkayakan lagi seni warisan dan budaya sebagai landasan untuk masyarakat lebih memahami dan menghargai antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Penyerahan Kepala Singa sumbangan Kerajaan Negeri Sabah kepada beberapa persatuan dan pertubuhan Cina daerah Lahad Datu di sini pada Selasa.
Mewakili Kerajaan Negeri Sabah, beliau menegaskan, bahawa kepentingan masyarakat minoriti sentiasa menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha memperkukuh kesejahteraan, memelihara keharmonian, dan perpaduan di negeri ini.
“Jangan jadikan perbezaan sebagai penghalang. Sebaliknya, jadikan ia asas untuk membina masa depan yang lebih baik kerana semua kaum adalah sebahagian daripada keluarga besar negeri Sabah,” ujarnya.
Terdahulu, Pengerusi Lembaga Sekolah Cina Lahad Datu, Thomas Wong dalam ucapan alu-aluannya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan yang diberikan dalam penganjuran acara perayaan tersebut.
“Kepala Singa yang kami terima ini bukan sahaja melambangkan budaya Cina, tetapi juga harapan agar perpaduan dan keharmonian antara semua kaum di Lahad Datu dan Sabah terus terpelihara. Kami amat menghargai sokongan kerajaan negeri dalam memastikan semua kaum dapat meraikan perayaan masing-masing,” katanya.
Wakil Persatuan Hakka Lahad Datu, Oscar Sia Yu Hock, turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan dan kepentingan masyarakat Cina.
“Saya berharap perpaduan kaum di Sabah, khususnya, akan terus kukuh demi memastikan pembangunan negeri ini terus pesat di bawah pimpinan kerajaan sedia ada,” ujarnya.
Untuk makluman, dalam majlis tersebut sebanyak sepuluh persatuan dan pertubuhan menerima sumbangan kepala singa daripada kerajaan negeri yang turut dihadiri kira-kira 800 orang tetamu.
-RJ-