
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)
BIDOR, 13 Jan (Malaysiaaktif) – Program Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Saudagar (KSRS) berlangsung meriah di Dewan Besar Kampung Coldstream, di sini malam kelmarin dengan kehadiran hampir 700 orang.

Ishsam memberi angpau kepada para tetamu
Menurut Pengerusi KSRS Sam Yong Pan, penganjuran program ini adalah tradisi tahunan yang sentiasa mendapat sokongan daripada masyarakat setempat dan menjadi platform mempereratkan hubungan komuniti.

Sekitar tetamu yang hadir memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina
“Program ini bukan sahaja untuk meraikan Tahun Baru Cina malah bertujuan membantu mereka yang memerlukan di samping menyemarakkan nilai perpaduan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shaharuddin menzahirkan penghargaan terhadap usaha KSRS yang konsisten menganjurkan program ini.
“Program seperti ini amat penting bagi memupuk perpaduan dan nilai kebajikan dalam kalangan masyarakat. Saya amat bangga dengan inisiatif yang ditunjukkan oleh kelab,” ujarnya.
Pelbagai pengisian menarik diadakan antaranya persembahan tarian singa dan tradisional Cina oleh anak-anak dari JAZ Home yang penuh dedikasi serta berbakat.
Selain itu, penyampaian sumbangan berupa barangan keperluan asas dan angpau kepada 100 keluarga yang kurang bernasib baik sebagai tanda keprihatinan pihak penganjur.
Program yang berlangsung selama tiga jam itu bukan sahaja menceriakan sambutan Tahun Baru Cina tetapi menjadi bukti komitmen kelab dalam menyokong komuniti setempat dan memelihara keharmonian masyarakat majmuk.
-AA-