
Laporan/foto: Ainsyah Hamid (Barat Daya)
GERTAK SANGGUL, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Sorakan gemuruh bergema apabila majlis dimulakan dengan pukulan gong sebagai simbolik perasmian, diikuti dengan aksi memukau penuh tradisi tarian singa di atas tiang oleh Persatuan Meihu.

Tarian Singa memukau penonton yang hadir
Tahun Baharu Cina meriah dengan kehadiran lebih 600 penduduk pelbagai kaum di Rumah Berhala Kong Hock Keong, di sini semalam.
Majlis anjuran Majlis Persatuan Komuniti Kampung (MPKK) Gertak Sanggul ini mendapat sokongan daripada ADUN Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz dan Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Pengunjung pelbagai kaum hadir memeriahkan majlis
50 kotak limau Mandarin dan 1,000 sampul angpau turut diagihkan sebagai tanda penghargaan kepada para hadirin hasil sumbangan ADUN Bayan Lepas dan Ahli Majlis.
Ketua Komuniti Madani Gertak Sanggul, Leong Kein Cheong, 55, menzahirkan harapannya agar acara sebegini diteruskan saban tahun.
“Sambutan ini bukan sekadar untuk masyarakat Cina, tetapi turut membuka ruang kepada kaum lain untuk merasai keunikan budaya ini.
“Inilah peluang terbaik untuk kita merapatkan hubungan dan memperkukuh perpaduan dalam komuniti,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan pelbagai hidangan tradisional pelbagai kaum termasuk kuih muih serta limau mandarin yang menjadi simbol kemakmuran dan kesejehteraan oleh masyarakat Tionghua.
-AA-