
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip /Mohd Maqdi Salleh (Tawau)
TAWAU, 23 Jan (MalaysiaAktif) – Tawau Light International Fest 2.0 berpotensi besar untuk memacu pertumbuhan ekonomi setempat dan mempromosikan Tawau sebagai destinasi pelancongan dengan peluang perniagaan yang luas.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pembangunan ekonomi setempat yang mampan juga memerlukan sinergi antara pelbagai pihak termasuk kerajaan, pengusaha tempatan, serta komuniti setempat.

Phoong Jin Zhe ketika berucap merasmikan Program Tawau Light International Fest 2.0.
Jelasnya, inisiatif yang digerakkan perlu berfokus kepada potensi Tawau sebagai destinasi yang menawarkan pengalaman unik kepada pelancong selain memanfaatkan sumber tempatan untuk memperkasakan ekonomi komuniti.
“Ini adalah satu inisiatif yang sangat baik untuk menarik pelancong, baik dari luar mahupun tempatan, untuk berbelanja dan terlibat dalam aktiviti perniagaan di Tawau.
“Program seperti ini amat diperlukan untuk merancakkan ekonomi dan membawa lebih banyak pengunjung ke Tawau untuk bersama-sama meraikan Tahun Baru Cina,” katanya ketika merasmikan Program Tawau Light International Fest 2.0 di sini pada Rabu.
Mengulas kejayaan program Kota Kinabalu Countdown 2024, acara berskala besar seperti itu katanya boleh memberi impak positif kepada ekonomi negeri tidak terkecuali Tawau Light International Fest 2.0.

Suasana meriah di program Tawau Light International Fest 2.0 dan kehadiran masyarakat menyemarakkan perayaan Tahun Baru Cina di Tawau.
Festival yang berlangsung dari 22 hingga 26 Januari 2025 turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan budaya yang memukau seperti tarian singa, kirin, seni tari dan persembahan nyanyian, serta pelbagai aktiviti lain yang menarik perhatian pengunjung.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Ahli Parlimen P.191 Kalabakan, Datuk Andi Suryady Bandy, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N68 Apas, Datuk Nizam DSP Abu Bakar Titingan dan ADUN N67 Balung, Datuk Hamild Awang.
-RJ-