
Laporan/goto: Nik Aula Nik Soh/ Mohd Radzi Yusof
KUALA KRAI, 30 Jan (MalaysiaAktif) – Teratak Rimba Abam Peah (TRAP) sebuah destinasi pelancongan berkonsepkan alam semula jadi yang terletak hanya 17 kilometer dari bandar Kuala Krai semakin mendapat perhatian sebagai lokasi percutian menarik.

Pintu masuk ke Teratak Rimba Abam Peah.
Menawarkan ketenangan serta keindahan semula jadi, TRAP berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat dengan menarik pelancong tempatan dan luar yang mencari pengalaman unik dalam suasana hutan yang menenangkan.
Salah seorang pengunjung, Zulkifli Ahmad, 30, berkata beliau memilih untuk menginap di TRAP bagi menikmati keindahan alam sekitar, terutamanya keunikan hutan berhampiran sungai.
“Menghabiskan masa di sini mengingatkan saya kepada suasana kampung ketika kecil.
“Udara segar, ketenangan alam, serta peluang mandi di sungai yang jernih tanpa pencemaran menjadikan pengalaman ini sangat berharga,” katanya yang bercuti bersama keluarga.
Tambahnya, lokasi ini bukan sahaja berfungsi sebagai tempat rekreasi dan percutian, tetapi juga mampu memberi impak positif kepada ekonomi setempat.

Kawasan tempat meletak kereta yang luas, menjamin keselesaan pada pengunjung yang datang.
“Pengurusan yang baik dan promosi berterusan, TRAP boleh menjadi nadi pembangunan ekonomi dalam masa sama meningkatkan taraf hidup penduduk, serta menjadikan Kuala Krai sebagai destinasi pelancongan alam semula jadi yang terkenal,” ujarnya.
Keunikan ekosistem semula jadi TRAP berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan unggul di Kelantan, sekali gus merancakkan lagi sektor pelancongan negeri.
-ZS-