
Laporan/foto: Azfa Saffie/Zalizan (Kuala Selangor)
JERAM, 29 Jan (MalaysiaAktif) – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) banyak memberi manfaat kepada pekerja yang mengalami kemalangan dan hilang upaya kerja akibat tragedi di tempat kerja.

Pengurus PERKESO Tanjong Karang bersama Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Maskor Tumiran memberi keterangan manfaat yang telah dan akan diterima oleh waris
Pengurus PERKESO Tanjong Karang, Roseman Muhamad Damanhuri berkata setiap pekerja perlu ada kesedaran dalam memastikan majikan mencarumkan mereka ke dalam PERKESO.
“Pentingnya para pekerja/orang berinsuran (OB) mencarum PERKESO adalah untuk melindungi diri jika ditimpa musibah di mana pekerja akan perolehi manfaat pampasan bagi diri sendiri serta keluarga (waris) yang ditinggalkan. Tambahan lagi, PERKESO ada menyediakan perkhidmatan pemulihan di Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak di Melaka bagi pencarum yang layak untuk menjalani latihan serta rawatan pemulihan. Ia bertujuan membantu OB sihat kembali dan secara tidak langsung boleh bekerja semula,” katanya ketika ditemui semalam.

Penyerahan sumbangan kotak prihatin kepada Nurul Nadiah Hamdan, waris yang menerima Pencen Bulanan Faedah Orang Tanggungan (FOT)
Roseman ditemui pada siri Ziarah Kasih kepada Nurul Nadiah Hamdan, 33, isteri kepada Mohd Azlan Solehin, 33, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Persiaran Mokhar Dahari semasa perjalanan pulang ke rumah daripada tempat kerja di Kilang Tyson menuju ke Kampung Bukit Kuching, Jeram pada 18 Disember lalu.
Nurul Nadiah menerima manfaat bayaran Pengurusan mayat serta Pencen Bulanan Faedah Orang Tanggungan (FOT) yang mana orang tanggungan layak menerima manfaat ini sekiranya pekerja terlibat meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.
“Masih banyak majikan yang kurang cakna mendaftarkan pekerja mereka, justeru pekerja sendiri perlu ambil peduli ke atas diri masing-masing dan memastikan majikan mendaftar seterusnya mencarum atas kebajikan kepada mereka sebagai pekerja,” ujarnya.
Ziarah kasih ini turut disertai Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Kuala Selangor, Pejabat Penerangan Daerah Kuala Selangor dan Jawatankuasa Komuniti MADANI Parlimen Kuala Selangor.
Suri rumah ataupun mereka yang bekerja sendiri juga adalah digalakkan untuk mencarum kepada institusi ini dan boleh melayari www.perkeso.gov.my untuk maklumat lanjut.
-AA-