
Laporan/foto: Norlia Mili / Cassidy Lisut (Sarawak)
KUCHING, 14 Jan (MalaysiaAktif) – Perubahan cara bekerja amat penting dan setiap penjawat awam perlu bersedia untuk menguasai kemahiran terkini, sama ada dalam teknologi digital, pengurusan projek atau keupayaan kepimpinan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg (Abang Johari) berkata, sehubungan itu kakitangan awam masa kini tidak boleh lagi bekerja biasa.
Beliau berkata, sebagai ejen kerajaan, kakitangan awam mesti menyediakan maklumat yang tepat, mengekalkan ketelusan dan meningkatkan kebolehcapaian kepada perkhidmatan kerajaan untuk rakyat.

Abang Johari sedang berucap pada pada Majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching semalam.
“Itulah sebabnya kita memperuntukkan belanjawan yang besar untuk latihan dan pembangunan untuk pemimpin, kakitangan peringkat eksekutif dan kakitangan sokongan,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching semalam.
Dalam pada itu, Nurshani Amsain, 29 tahun, yang juga seorang kakitangan awam berkata, program latihan dan pembangunan dapat meningkatkan kualiti serta produktiviti sekaligus memberikan kesempatan kepada individu pekerja untuk berubah dari segi perilaku dan sikap terhadap tanggungjawab kerja.

Nurshani Amsain, penjawat awam yang turut hadir di Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 semalam.
“Ia juga memperkaya pengetahuan dan kemahiran pekerjaan di semua peringkat organisasi, merangsang semangat bekerja serta mengembangkan kemahiran kepimpinan, motivasi, kesetiaan dan nilai-nilai positif dalam diri pekerja,” ujarnya lagi.
Seramai kira-kira 3000 orang telah hadir pada Majlis Amanat Perdana YAB Premier Sarawak 2025 yang juga merupakan ulang tahun ke-8 pentadbiran Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
-RJ-