
Laporan/foto: Mohammad Nazeeb Ali (Sarawak)
KUCHING, 27 Jan (MalaysiaAktif) – Pengunjung Kompleks Majma Mall di sini teruja apabila dapat merasai sendiri pengembaraan Kisah Nabi dengan menggunakan teknologi terkini iaitu Virtual Reality (VR).
Virtual Reality (VR) yang disediakan oleh syarikat VR Journey Sarawak telah membuka pameran VR dari 21 Januari 2025 dan berakhir semalam sempena cuti sekolah.

Kanak-anak turut teruja dan merasai sendiri penggunaan VR tersebut.
Terdapat tujuh Kisah Nabi disediakan antaranya adalah Pengembaraan Kota Mekah, Hijrah Rasulullah SAW, Maulid, Isra Mikraj, Kisah Nabi Isa, Kisah Nabi Musa Dan yang terbaharu ialah Kisah Nabi Ibrahim.
Menerusi VR ini, ia dapat menunjukkan gambaran lebih jelas tentang Kisah Nabi 1400 tahun yang lalu di mana imej yang ditayangkan adalah berbentuk imej 5D.

Hishammudin merasai sendiri pengembaraan Kisah Nabi menerusi VR di Kompleks Majma Mall di sini semalam.
Menurut Hishammudin Hajmi, 40 tahun, salah seorang pengunjung pameran berkenaan berkongsi pengalaman beliau selepas merasai sendiri penggunaan VR tersebut dan amat teruja sekali dengan teknologi yang disediakan.
“Sebelum ini, kita didedahkan penggunaan VR ini hanya untuk bermain permainan sahaja, namun pada kali ini ia amat berbeza di mana VR menayangkan kisah para Nabi yang sebelum ini kita belajar melalui buku teks di sekolah sahaja,“ ujarnya semasa ditemu bual semalam.
-RJ-