
Laporan / Foto : Iswandi Kassim
SIMANGGANG, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Suasana penuh ukhuwah dan keberkatan menyelubungi Surau Kebahagiaan, Kampung Hilir Simanggang, semalam apabila sekitar 200 penduduk dari lima kampung dalam kawasan Ladong dan para jemputan berkumpul untuk menghadiri majlis tahlil perdana dan zikir marhaban pra ramadan.

Majlis Zikir Marhaban yang diketuai oleh Imam Abang Razali Abang Ramli.
Menurut Penasihat surau, Pemanca Abang Norin Abang Norudin, 64, dalam ucapannya menyatakan bahawa majlis yang diadakan bagi menyambut kedatangan bulan ramadan serta memperingati mereka yang telah kembali ke rahmatullah tersebut bukan sahaja memperkukuh syiar Islam tetapi juga mempereratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan. Ini menunjukkan kesatuan dan keprihatinan masyarakat dalam menghidupkan amalan keagamaan, lebih-lebih lagi menjelang ramadan yang mulia.
“Inilah masanya untuk kita bersama-sama berdoa dan bermuhasabah, agar ramadan kali ini lebih bermakna buat kita semua,” katanya lagi.

Sebahagian daripada kariah Surau Kebahagian Kpg Hilir dan penduduk kampung yang hadir.
Lima kampung yang terlibat dalam penganjuran majlis ini ialah Kampung Masjid Baru, Kampung Datuk, Kampung Haji Undom, Kampung Tanjung Engkabang dan Kampung Sembau.
Selain bacaan surah yassin, tahlil perdana, solat maghrib dan Isyak berjemaah, turut diadakan zikir marhaban sebagai penutup majlis.
Sementara itu, program tersebut turut menyaksikan penangguhan kelas al-Quran pra ramadan yang telah berlangsung selama sebulan dan disertai oleh 30 peserta.
-RJ-