
Laporan/foto: Zaidy Salim/Facebook Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan
PUTRAJAYA, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Sejumlah 24 juta kampit beras putih tempatan (BPT) bersubsidi akan mula dijual di pasaran pada 1 Mac ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 13 Februari lalu, kerajaan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini untuk tujuan tersebut.
“Walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim, kenaikan kos dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun Kerajaan MADANI sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara.
“Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI telah menyediakan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian, yang bertujuan meringankan beban para pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi,” menurut kenyataan itu.
Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Datuk Badrul Hisham Mohd dalam sidang media khas berkenaan mekanisme pelaksanaan subsidi BPT, di sini kelmarin, berkata semua pihak diminta memahami bahawa BPT bersubsidi itu adalah bantuan kerajaan kepada golongan yang memerlukan dan bukannya untuk diniagakan.
Katanya, setiap kampit beras akan diletakkan tag untuk tujuan penjejakan dan pengesanan sebarang manipulas serta bilik gerakan akan dibuka 24 jam untuk pemantauan.
“Setiap BPT peknya akan dikawal menggunakan dua lapisan kawalan iaitu Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dengan kekuatan 1,200 anggota membantu penguatkuasaan.
“Jadi kami yakin dengan kapasiti itu (dan) ditambah dengan sistem kecerdasan buatan (AI) yang digunakan untuk membuat pengesanan dan penjejakan, maka kita yakin subsidi ini akan menitik terus kepada kumpulan sasaran,” katanya.
-ZS-