
Laporan/foto: Mohd Hairie Izwan Awang (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 25 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 25 pelajar Tahun 1 hingga Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kua, Ajil, telah menerima bantuan persekolahan daripada Yang Amat Mulia Tengku Sri Temenggong Raja Dato’ Seri Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafibillah Shah, di sini kelmarin.

Tengku Sri Temenggong Raja hadir bagi menyempurnakan program ini, di sini kelmarin.
Tengku Sri Temenggong Raja yang hadir menyempurnakan program ini, berkata Majlis Pelancaran Program Semai Bakti ini bertujuan untuk meringankan beban golongan pelajar kurang berkemampuan dengan melibatkan penyertaan syarikat-syarikat swasta sebagai sebahagian daripada khidmat masyarakat mereka.
“Program ini adalah usaha berterusan dalam memberi sokongan kepada pendidikan anak-anak di luar bandar serta memperkukuh hubungan antara komuniti dan sektor swasta dalam mencipta masa depan yang lebih cerah untuk generasi akan datang,” ucapnya.
Bagi adik Ahmad Asyraf Zulhimi Zainuddin, 12, bantuan ini memberikan sinar harapan kepada beliau dan keluarganya.
“Bantuan yang diterima ini sangat bermakna kerana ayah hanya bekerja kampung dan saya berterima kasih kepada Yang Amat Mulia Tengku dan pihak sekolah kerana memilih saya untuk menerima bantuan ini,” ujar Ahmad Asyraf dengan penuh rasa syukur.

Ahmad Asyraf (kanan) bersama penjaga meluahkan rasa syukur atas bantuan persekolahan yang diterima.
Selain itu, Sekolah Kebangsaan Kua turut menerima bantuan sebanyak RM 30,000 daripada Tengku Sri Temenggong Raja untuk mempertingkat kemudahan pembelajaran di sekolah tersebut.
Inisiatif ini memberi peluang kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk terus berusaha dan mengejar impian mereka.
-ZS-