
Laporan/foto: Mohammad Rasuli (Bagan Datuk)
HUTAN MELINTANG, 12 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 250 orang peserta dari 30 buah kampung menerima bantuan persekolahan sempena Program Jom ke Sekolah 2025 (JKS2025) di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah Sungai Sumun, di sini kelmarin.
Ketua Perhubungan Daerah Wadah Pencerdasan Umat Bagan Datuk (WADAH) Mat Rahim Affandi, berkata program JKS2025 merupakan anjuran Persatuan Pengupayaan Rakyat Negeri Perak (PERAKYAT) dengan kerjasama WADAH.

Mat Rahim berharap bantuan yang diberikan akan membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa.
“Diharap bantuan yang diberikan akan membantu meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan dan tiada anak-anak yang akan tercicir daripada mendapat pendidikan,”ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PERAKYAT Dr. Madhi Hasan, berkata sumbangan yang diberikan pada hari tersebut adalah pemberian daripada pembayar zakat kepada Majlis Agama Islam Persekutuan.
”Terima kasih Yayasan Taqwa yang berada dibawah Majlis Agama Islam Persekutuan kerana sudi untuk menyumbang kepada penerima di negeri Perak ini, terima kasih juga kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana berusaha mencari penerima sumbangan untuk program ini.

Antara penerima sumbangan yang hadir.
“Penerima pada hari ini akan menerima bantuan beg sekolah dan baucar bernilai RM150 yang boleh digunakan untuk membeli barangan sekolah di dua cawangan Aked Asril yang berada di Simpang 4 dan Batu 10,” katanya.
Menurutnya lagi, baucar yang diberikan tidak boleh dipindah milik kepada orang lain dan perlu digunakan selewat-lewatnya sehingga 28 Februari ini.
“Program sumbangan sebegini tidak terhenti di sini kerana akan lebih banyak program menyusul pada masa depan dan kami akan sentiasa mencari peluang untuk menyumbang kepada masyarakat,” ujarnya.
-ZS-