Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

385 Penerima eKasih Dirai, Bantuan Sumbangan Ringankan Beban Rakyat

By 16 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Arief (Marang)

MARANG, 16 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 385 penerima bantuan eKasih diraikan dalam majlis penyampaian sumbangan sempena Karnival Santuni MADANI yang berlangsung di Taman Rekreasi Bukit Payong, di sini kelmarin.

Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Nik Nasarudin Mohd Zawawi yang hadir bagi merasmikan program ini, menegaskan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat Terengganu melalui pelbagai inisiatif pembangunan.

Penerima bantuan turut menerima sumbangan bakul makanan.

“Kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat Terengganu dengan memperuntukkan sebanyak RM1.84 bilion melalui ICU JPM bagi melaksanakan 402 projek pembangunan di negeri ini,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan program berbentuk komuniti yang membolehkan masyarakat memberi maklum balas bagi menambah baik inisiatif sedia ada sekali gus memastikan manfaat yang lebih besar kepada rakyat.

“Masyarakat perlu mengetepikan anasir negatif dan terus mengukuhkan kerjasama komuniti bagi memastikan kesejahteraan serta keharmonian sosial terus terpelihara.

“Program ‘Satu Pemimpin, Satu Kampung’ (Santuni MADANI) yang dikendalikan oleh ICU JPM ini adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri agar setiap pemimpin mengambil tanggungjawab terhadap sesebuah kampung sebagai kawasan jagaan sendiri,” katanya.

Dalam majlis ini, pelbagai bantuan disalurkan kepada penerima yang layak termasuk bakul makanan, komputer riba, motosikal dan kelengkapan persekolahan.

Seorang penerima bantuan Sidek Muda, 78, yang menerima motosikal beroda tiga, meluahkan rasa syukur atas sumbangan tersebut yang akan memudahkan urusannya mencari rezeki.

Sidek Muda bergambar dengan motosikal roda tiga yang diterimanya.

“Dengan motosikal ini, lebih mudah untuk saya dan anak keluar berniaga buah-buahan di pasar.

“Terima kasih kepada pihak ICU atas sumbangan ini,” katanya.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu Abdul Kahar Abdul Latif serta wakil-wakil pengurusan ICU JPM dan pemimpin setempat.

Karnival ini bukan sekadar meraikan penerima bantuan tetapi juga memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat selari dengan aspirasi MADANI untuk membina negara yang lebih inklusif dan sejahtera.

-ZS-

Tinggalkan komen anda