
Laporan/foto: Anuar Che Amat
KANGAR, 19 Feb (MalaysiaAktif) – Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Negeri Perlis 2025 telah berjaya menarik penyertaan seramai 112 orang peserta dari 42 buah negara termasuk Malaysia.
Program yang dianjurkan sempena dengan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berlangsung selama satu hari bermula dari 9.00 pagi sehingga 10.00 malam semalam di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, dekat sini mendapat sambutan daripada orang ramai.

Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan menyampaikan cenderahati kepada para peserta Fiesta Layang-Layang Anarabangsa Perlis 2025.
Pengerusi Persatuan Pemain Layang-Layang Moden dan Tradisi Perlis Rodzake Namis, berkata ini merupakan penganjuran pertama di negeri Perlis.
“Sebelum ini selalu diadakan di Pasir Gudang, Johor,” ujarnya.
Dianggarkan lebih 5,000 orang menghadiri pesta ini dengan tarikan layang-layang berlampu di waktu malam.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat untuk menyempurnakan perasmian Fiesta Layang- Layang Anarabangsa Perlis tersebut.
Turut berangkat hadir, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda YAM Hajjah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
“Selain dari Malaysia terdapat peserta dari negara China, Argentina, Sri Lanka, Jerman, Amerika Syarikat, Indonesia dan beberapa buah negara lagi.
“Pemilihan tempat ini dibuat kerana lokaliti kawasan ini yang tidak mempunyai bangunan serta pokok-pokok yang tinggi,” katanya.
Rodzake berharap agar pesta ini boleh menjadi acara tahunan untuk menarik orang ramai atau pelancong datang ke Perlis.

Persembahan layang-layang berlampu.
“Para peserta ini telah mengadakan pertunjukan di Festival Layang-Layang Antarabangsa di Pasar Gudang, Johor dan mereka ke Perlis untuk menyertai pesta ini dan selepas itu mereka akan ke Satun, Thailand untuk mengadiri Satun Kite Festival,” katanya.
Seorang pelayang dari Indonesia, Bagas Wahyu Saputra, 23, ditemui, berkata Fiesta Layang-Layang Antarabangsa Negeri Perlis 2025 ini merupakan satu acara yang terbaik kerana keadaan kawasan permainan layang-layang yang luas dan memudahkan untuk mengawal layang-layang ketika di udara.
“Ini pertama kali saya datang ke sini bersama sembilan orang peserta Indonesia yang lain.
“Saya melihat orang sangat ramai dan tempat penginapan yang disediakan juga cukup dekat, cuma bersebelahan dengan padang permainan layang-layang sahaja,” katanya yang mengawal layang-layang diberi nama ‘Gama Sita’.
-ZS-