
Laporan/foto: Marshita/Nur Amielia (Kerian)
BAGAN SERAI, 18 Feb (Malaysiaaktif) – Seramai 465 pesawah di daerah Kerian yang terjejas akibat bencana kemarau pada tahun lalu gembira apabila menerima bantuan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) berjumlah RM412,534 di Dewan Komuniti Bagan Serai, di sini semalam.

Datuk Mohd Zolkafly ketika berucap.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata bencana itu menjejaskan kawasan tanaman padi seluas 470.93 hektar.
“Sebanyak RM6,000 juga telah diluluskan di bawah Tabung Bencana Pertanian (TBP) kepada tiga orang petani yang terjejas bagi tanaman lain seluas 0.70 hektar.
“Secara keseluruhan, kerajaan negeri dan persekutuan telah meluluskan RM812,081 di bawah TBTP kepada 702 pesawah di daerah Kerian, Perak Tengah dan Hilir Perak yang melibatkan keluasan kawasan terjejas mencecah 778 hektar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan TBTP Negeri Perak Zon Kerian 2025.

Penyerahan bantuan kepada para penerima.
Jelasnya lagi, bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Pertanian Negeri dengan kerjasama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu juga diberikan kepada 110 petani dan penternak bagi subsektor tanaman makanan, ternakan dan akuakultur yang terjejas melibatkan kawasan seluas 76 hektar berjumlah RM1.411 juta di bawah TBP.
Dalam program sama, Jabatan Pertanian Negeri Perak turut menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada para petani di daerah Kerian.
Hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar Perak merangkap Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Datuk Sham Mat Sahat, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Norsiyenti Othman dan Pengarah LPP Negeri Dzulfadli Johan.
-ZS-