
Laporan/foto: Intan Saziana/Sunito (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 10 orang daripada Komuniti MADANI Puncak Arabella telah menyertai Kursus Keselamatan Kata Laluan bertempat di Pusat Sebaran Maklumat (NADI) Tanah Rata, di sini hari ini.

Norisam Sahidan Pegawai Penerangan Daerah Cameron Highlands menyampaikan sedikit taklimat sempena program Kursus Keselamatan Kata Laluan.
Kursus ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat mengenai pentingnya keselamatan siber, terutamanya dalam penggunaan kata laluan yang kuat dan selamat.
Para peserta yang terlibat terdiri daripada pelbagai lapisan usia dengan tujuan untuk mengajar berkaitan amalan keselamatan digital yang baik serta teknik untuk melindungi maklumat peribadi dalam dunia siber yang semakin berkembang.
Menurut Timbalan Pengerusi Komuniti MADANI Puncak Arabella Azham Aminudin program seperti ini sangat bagus dilaksanakan terutamanya di peringkat Komuniti MADANI kerana ia dapat membantu dan memudahkan mereka menyampaikan maklumat secara tepat dan jelas kepada komuniti setempat bagi melindungi maklumat peribadi.

Sesi Amali Keselamatan Kata Laluan dilaksanakan bersama Komuniti MADANI Puncak Arabella.
“Saya juga berharap agar program-program seperti ini dapat diteruskan dan diperkasakan sebaik mungkin, kerana ia sangat bermanfaat kepada komuniti khususnya,” ujarnya.
Program NADI X Komuniti MADANI ini juga merupakan salah satu inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI di bawah program Inisiatif Kerajaan yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan NADI dan inisiatif kerajaan.
Pelbagai aktiviti menarik dan kemudahan yang boleh didapati di NADI Tanah Rata bagi tujuan pembelajaran secara atas talian.
-ZS-