
Laporan/Foto: Iswandi Kassim / Suaidie Yusop (Sarawak)
SRI AMAN, 12 Feb (MalaysiaAktif) –Membudayakan amalan 5S secara berterusan iaitu seiri (sisih), seiton (susun), seiso (sapu), seiketsu (seragam) dan shitsuke (praktik) mampu menyakinkan pelanggan, memotivasikan dan menyediakan ruang kerja kondusif.
Menurut seorang penjawat awam Safariza Bujang, 43, kebersihan ruang pejabat dan persekitarannya bukan saja perlu untuk kelihatan kemas serta cantik, tetapi ia memberi sekurang-kurangnya tiga kesan penting iaitu meyakinkan pelanggan terhadap kualiti pengurusan, memberi dorongan motivasi kepada pekerja dengan suasana kerja yang kondusif untuk meningkatkan produktiviti.

Safariza (Berbaju kuning) bersama kakitangannya melaksanakan amalan 5S.
“Apa yang tidak perlu itu boleh dibuang atau dilupuskan bagi menjimatkan ruang dan kemudian, semua perlu disusun atur dan diseragamkan dengan pelbagai sistem penyimpanan seperti angka, abjad atau warna supaya memudahkan urusan mencari serta menyimpan dokumen,” katanya kemarin.
Tambahnya, ruang dan peralatan yang ada juga hendaklah sentiasa dijaga kebersihannya dengan sentiasa disapu dan ini sudah tentu akan mewujudkan suasana seronok dan selesa di tempat kerja selain memberi imej yang positif kepada organisasi.
Menurutnya lagi, kebersihan mungkin nampak kecil tetapi untuk memula dan mengubah individu menjadi lebih bertanggungjawab sebenarnya perlu dimulakan diri sendiri.
“Jadikan amalan menyapu ruang, menyusun fail dan membuang sampah di meja sendiri sebelum atau selepas memulakan kerja sebagai tabiat setiap hari kerana ruang yang bersih, kemas akan menjadi terapi minda yang baik untuk mendorong minat berada di pejabat dan bekerja dengan sistematik, cekap serta cepat,” katanya kemarin.
-RJ-