
Laporan/Foto: Fakhri Zafran / Iswandi Kassim (Sarawak)
SRI AMAN, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Kejayaan tidak datang bergolek, tetapi memerlukan usaha gigih, dedikasi, dan semangat pantang menyerah.
Inilah prinsip yang dipegang oleh Abdul Manan Ruzuhan, 27 tahun, seorang usahawan muda yang mengorak langkah sebagai pengusaha sate termuda di Sri Aman.
Mewarisi perniagaan sate daripada keluarganya, Abdul Manan membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya milik mereka yang memiliki kelulusan akademik tinggi sebaliknya, dengan kerja keras dan keazaman, sesiapa sahaja mampu mencapai impian mereka.

Sate daging dan sate kambing antara menjadi sate kegemaran pelanggan di kedai Kak Jenot Sate.
Sejak kecil Abdul Manan sering membantu ibu bapanya di gerai sate milik keluarga dan ketika melihat susah payah orang tuanya membina perniagaan tersebut dari bawah, beliau mula menyedari nilai sebenar kegigihan dan kepayahan dalam mencari rezeki.
Apabila tiba masanya untuk mengambil alih perniagaan tersebut, beliau tidak gentar malah terus mencari jalan untuk mengembangkan lagi jenama sate keluarganya.
“Saya percaya bahawa kejayaan bukan datang dengan hanya menunggu tetapi kita perlu berusaha, belajar dari pengalaman, dan sentiasa berinovasi untuk kekal relevan,” katanya semalam.
Sebagai usahawan muda, Abdul Manan Ruzuhan, tidak terlepas berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk persepsi masyarakat yang sering mengaitkan kejayaan dengan pendidikan tinggi, namun, beliau membuktikan bahawa kemahiran dan pengalaman praktikal juga merupakan aset penting dalam dunia keusahawanan.
“Saya mahu membuktikan bahawa anak muda juga berhak berjaya, walaupun tanpa kelulusan akademik yang tinggi tetapi yang penting, jangan putus asa dan sentiasa percaya pada diri sendiri,” katanya.
Kini perniagaan sate Abdul Manan Ruzuhan semakin berkembang, dengan pembukaan cawangan baharu serta perancangan untuk menembusi pasaran yang lebih luas ke luar daerah Sri Aman.
Kejayaannya bukan sahaja menaikkan nama perniagaan keluarga tetapi juga menjadi bukti bahawa kejayaan boleh dicapai oleh sesiapa sahaja yang berani berusaha.
-RJ-