
Laporan/foto: Mohd Nazri Saparudin (Langkawi)/Zamri Ibrahim (LADA)
LANGKAWI, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Animasi Obit dan Sahabat Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp) membuktikan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bersedia ke arah mentransformasikan elemen penyampaian informasi geopark dengan lebih mesra, cepat dan berkesan.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Haslina Abdul Hamid, berkata inisiatif ini merupakan cubaan pertama yang dapat meningkatkan kesedaran akan kepentingan pemuliharaan dan pembangunan lestari LUGGp dalam kalangan pelajar serta komuniti setempat.

Haslina ketika gimik perasmian bersama tetamu jemputan.
“Video animasi pendidikan berdurasi lima minit berkonsepkan hiburan ini bakal bertindak sebagai bahan promosi secara tidak langsung dalam usaha memperkenalkan Langkawi sebagai tempat lahir bumi Malaysia,” katanya.
Menurutnya animasi tersebut membawa mesej yang mendalam tentang kepentingan pemuliharaan alam sekitar, sejarah geologi dan budaya tempatan.
“Melalui planform ini, kita berharap dapat membentuk minda generasi muda agar lebih memahami dan menghargai keunikan Geopark Langkawi, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) sebagaimana digariskan dalam Pelan Pengurusan Langkawi Geopark 2024–2030.
“Diharapkan animasi Obit dan Sahabat ini dapat dijadikan alat promosi yang strategik untuk memperkukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.

Antara tetamu jemputan dan peserta yang hadir menjayakan program.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan Dan Pembangunan) LADA, Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin dan Timbalan Pengurus 2 Bahagian Pelancongan LADA Nordiana Nordin.
Katanya lagi, dengan pendekatan visual moden dan mesej yang universal, pihaknya yakin bahawa animasi ini mampu menarik perhatian pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan ekonomi komuniti setempat.
“Selain itu ia akan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk mencintai dan memelihara LUGGp sebagai khazanah dunia,” katanya dalam ucapan perasmian Animasi Obit dan Sahabat Langkawi UGGP yang diadakan di Auditorium Kompleks LADA, di sini semalam.
-ZS-