
Laporan/foto: Muhammad Syafiq Saad/ Ku Nurul Sham (Kubang Pasu)
JITRA, 28 Feb (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah merasmikan pelancaran projek pembangunan infrastruktur bernilai RM1 bilion bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, di sini semalam.
Projek ini merupakan inisiatif strategik kerajaan dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi negara serta memperkukuhkan jaminan bekalan makanan bagi rakyat Malaysia.

Penerangan projek yang disampaikan oleh pihak MADA kepada kepada Perdana Menteri.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur ini merangkumi pembinaan sistem pengairan moden, saliran yang lebih efisien, pembaikan jalan ladang serta penggunaan teknologi pertanian pintar bagi meningkatkan kecekapan dan hasil tanaman.
Projek ini dijangka memberi manfaat kepada pesawah sekitar Kedah dan Perlis.
“Dengan adanya infrastruktur yang lebih baik dan sokongan teknologi pertanian yang canggih, kita yakin program penanaman padi lima musim ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil dan pendapatan pesawah,” ujarnya.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, projek ini juga melibatkan kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan, serta sektor swasta bagi memastikan kejayaan program ini.
“Pihak kerajaan turut menyediakan bantuan subsidi baja, benih berkualiti tinggi serta latihan kepada pesawah bagi meningkatkan kemahiran dan produktiviti mereka,” katanya.

Ribuan pesawah yang hadir mendengarkan ucaptama dari Perdana Menteri.
Para pesawah yang hadir dalam majlis perasmian ini menyambut baik inisiatif kerajaan dan berharap pelaksanaan projek ini dapat berjalan lancar serta memberikan impak positif terhadap kehidupan mereka.
Projek pembangunan infrastruktur ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun dan akan menjadi model kepada kawasan-kawasan lain yang ingin melaksanakan program penanaman padi berintensif tinggi di seluruh negara.
Turut hadir bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
-ZS-