
Laporan/foto: Salawati Mat Shariff (Timur Laut)
JELUTONG, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meraikan sambutan dua dekad penubuhannya dengan penganjuran Karnival Maritim Perkasa bertempat di Persiaran Karpal Singh, yang dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini kelmarin.

Lok Yi Heng bersama temannya melihat aset Polis Diraja Malaysia.
Program yang bertujuan meningkatkan patriotisme dan kesedaran masyarakat mengenai peranan APMM ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk demonstrasi aset laut dan udara yang berjaya menarik perhatian ribuan pengunjung.
Pengunjung Lok Yi Heng, 28, teruja apabila berpeluang menyaksikan aksi demonstrasi tersebut dari jarak dekat dalam kawasan khas yang disediakan.
“Ini kali pertama saya menghadiri program sebegini bersama keluarga dan pasti saya akan datang lagi pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Mazdina Ishak, 23, mengakui terpesona dengan kehebatan Istiadat Perbarisan yang dipersembahkan oleh anggota APMM.

Pengunjung mengambil kesempatan bergambar bersama Skuad Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).
“Disiplin dan kesungguhan mereka benar-benar mengagumkan,” ujarnya.
Sebagai agensi barisan hadapan perairan negara, APMM bukan sahaja bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan maritim, tetapi turut melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di laut.
-ZS-