Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Bantu Kesejahteraan Warga Emas, PAWE Sembrong Bakal Beroperasi

By 24 Februari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nadia Abdullah/Abassalimi Mohamed (Kluang)

KLUANG, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sembrong yang baharu ditubuhkan dan dijadualkan mula beroperasi pada 4 Mac ini dijangka akan terus memainkan peranan penting dalam memastikan kesejahteraan golongan berusia di daerah ini.

Penyampaian sumbangan kepada masjid dan surau dalam Parlimen Sembrong bersempena Ramadan yang bakal menjelang.

“Dengan kewujudan lebih banyak pusat seperti ini, warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih aktif, sihat dan sejahtera.

“Pihak kami juga sentiasa mengalu-alukan permohonan untuk pembukaan PAWE di mana-mana kawasan di daerah Kluang,” kata Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kluang Shazuwan Husnan Che Hamid semasa Majlis Tahlil dan Perasmian PAWE Sembrong, di sini semalam.

Menurutnya, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada inisiatif ini dengan menyediakan bantuan bagi menambah baik kemudahan PAWE di seluruh negara.

Sementara itu, Pengerusi PAWE Sembrong Abdul Ghani Abdul Rashid, berkata pusat ini akan menjadi platform bagi warga emas untuk kekal aktif menerusi pelbagai program seperti senaman, bengkel kemahiran, dan sesi kaunseling.

Bacaan tahlil diadakan sempena pembukaan PAWE Sembrong.

“PAWE Sembrong bukan sekadar tempat bersosial, tetapi juga pusat ilmu dan kebajikan untuk warga emas dan kami berharap ia dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat, khususnya penduduk di sekitar Parlimen Sembrong.

“Selain itu, PAWE Sembrong turut menyediakan perkhidmatan sokongan seperti Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) bagi membantu keperluan harian golongan ini,” jelasnya.

Sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, majlis tersebut turut memberikan sumbangan kepada masjid dan surau di seluruh Parlimen Sembrong bagi membantu pengurusan rumah ibadah menjalankan aktiviti keagamaan sepanjang bulan mulia ini.

Turut hadir Penghulu Mukim Renggam Ahmad Farhan Abu Bakar.

-ZS-

Tinggalkan komen anda