
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/PKNPk
IPOH, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Penganjuran Bazar Ramadan Terpanjang di Bulatan Sultan Azlan Shah (BSAS) bakal memasuki tahun ketiga penganjuran pada tahun ini.

Ketua Eksekutif PKNPk Datuk Redza Rafiq Abdul Razak fokus dalam memastikan matlamat Perak Sejahtera 2030 dalam memperkasakan PKS direalisasikan
Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) Intan Tantiyana Puteri Jaafar, bazar ini akan mempunyai penambahan lot perniagaan dari 100 lot kepada 121 lot dengan menyajikan pelbagai citarasa makanan tradisi dan viral di bandaraya Ipoh.

Lokasi BSAS juga menjadi mercu tanda komitmen PKNPk
“Penganjuran kali ini dijangkakan akan menerima seramai 120,000 pengunjung berbanding 70,000 pengunjung pada tahun lalu,” katanya.
Ketua Eksekutif PKNPk Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata Bazar Ramadan @ BSAS menawarkan platform penting bagi para usahawan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Tambah beliau lagi, keputusan untuk meningkatkan bilangan lot di bazar mencerminkan komitmen PKNPk dalam menyokong pertumbuhan PKS yang merupakan tulang belakang ekonomi tempatan.
“Langkah ini selari dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 yang bertujuan memperkasakan PKS dan mencipta peluang ekonomi yang inklusif bagi semua rakyat Perak,” ujarnya.
Sementara itu, aktiviti dan permainan seperti paddlers, go-kart dan soopa doopa akan beroperasi seperti biasa di sepanjang bulan Ramadan.