
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Feb (MalaysiaAktif) – Merasa lebih dekat dengan komuniti dan dapat membantu warga Kampung Batu Lunguyan menjadi alasan Jherenny Jeneble, 46, menukar kerjayanya kepada usahawan.
Beliau yang dahulunya seorang penjawat awam, tertarik untuk fokus berniaga selepas mengikuti satu Kursus Asas Anyaman Buluh anjuran Jabatan Hal Ehwal Wanita (JHEWA) yang dianjurkan di daerah Sook.

Jherenny bersama produk kraf yang dihasilkannya.
“Dalam kursus tersebut saya berkenalan dengan JHEWA dan pegawai mereka memberi banyak penerangan mengenai peranan dan bantuan yang ditawarkan kepada komuniti.
” Walaupun ketika itu saya sudah memulakan perniagaan kraf saya, tetapi saya belum nampak hala tuju dan tidak fokus sepenuhnya sehingga saya mengambil keputusan untuk menyertai JHEWA.
” Dikelilingi oleh usahawan-usahawan hebat serta bantuan dan latihan yang diberikan kepada peserta, yang membantu melakar nama dan perniagaan saya hingga kini,” katanya ketika ditemui dalam program bual bicara Podcast Kanou Misorita di sini kemarin.
Tambahnya, JHEWA turut membantu dari segi promosi, ilmu keusahawanan dan pemberian geran untuk membeli barangan mentah agar dapat menghasilkan lebih banyak produk.
Turut bersama dalam program bual bicara tersebut ialah Pengarah JHEWA, Haslina Ismail, serta wakil Persatuan Usahawan Wanita Intelek Sabah (SWISE), Roslin Liman.
-RJ-