
Laporan/Foto : Iswandi Kassim / Fakri Zafran/Suadie Yusuf (Sarawak)
SRI AMAN, 17 Feb (MalaysiaAktif) — Di tengah suasana bersejarah Muzium Warisan Kubu Alice, sebuah efigi buaya tanah yang berusia hampir seabad terus menjadi saksi bisu keagungan budaya pertanian masyarakat Iban.
Dalam satu temubual eksklusif bersama Pembantu Galeri, Sopoin Dony,29, beliau menegaskan pentingnya efigi tersebut sebagai simbol perlindungan hasil tani dalam tradisi lama masyarakat Iban iaitu ‘mali umai’.
“Efegi buaya tanah ini diperoleh dari sebuah rumah panjang lama di kawasan Engkilili dan dipercayai berusia lebih 80 tahun dan ia digunakan semasa musim menanam padi untuk memohon perlindungan daripada ancaman perosak seperti tikus dan belalang,” jelas Sopoin ketika ditemui semalam.

Sopoin (kiri) ketika memberi penerangan kepada dua orang pengunjung Efigi Buaya Tanah di sini semalam.
Menurut Sopoin lagi, efigi yang dipamerkan itu lengkap dengan ciri-ciri tradisional iaitu seekor buaya jantan sepanjang hampir empat meter dengan mata diperbuat daripada mangkuk tembikar kecil, manakala sisiknya pula dihiasi pecahan tembikar.
“Posisi efigi ini sangat simbolik iaitu buaya jantan di kanan, buaya betina di kiri, menghadap matahari terbit dan melambangkan keseimbangan tenaga alam,” katanya.
Sopoin turut berkongsi bahawa selain aspek perlindungan tanaman, efigi buaya tanah mencerminkan hubungan erat masyarakat Iban dengan alam semula jadi.
Katanya, ritual ‘mali umai’ bukan sekadar adat, tetapi satu bentuk komunikasi spiritual.
Namun demikian, Sopoin turut melahirkan rasa bimbang terhadap hilangnya tradisi tersebut di mana mereka sering menerima pelawat muda yang tidak mengenali kisah di sebalik efigi tersebut.
Malah, katanya, mereka terkejut apabila mengetahui betapa besar peranan efigi dalam budaya nenek moyang mereka.

Efigi Buaya yang terdapat di Muzium Warisan Kubu Alice, Simanggang.
Sebagai usaha melestarikan warisan ini, Muzium Warisan Kubu Alice kini menjalankan pameran interaktif dan sesi bercerita kepada pengunjung.
“Kami mahu generasi muda bukan sekadar melihat efigi ini sebagai artifak, tetapi memahami falsafah di sebaliknya iaitu hubungan manusia, alam, dan spiritualiti,” tegas Sopoin.
Beliau turut berharap agar masyarakat tempatan terus menyokong usaha memelihara warisan ini di mana efigi buaya tanah adalah cerminan kearifan masyarakat tempatan dalam menjaga keseimbangan ekosistem.
“Jika kita biarkan ia dilupakan, kita bukan sahaja kehilangan budaya, tetapi juga nilai-nilai yang membentuk identiti kita,” katanya.
-RJ-