
Laporan/foto: Syaiful Syarafuddin Ahmad Shafie/Sh. Nurrul (Rompin)
ROMPIN, 27 Feb (MalaysiaAktif) – FELCRA Berhad mengambil langkah besar dalam memastikan keterjaminan makanan negara dengan melancarkan Kompleks Ternakan Ayam Pedaging (Sistem Tertutuo) di Kampung Perpat, Kuala Rompin, di sini, semalam.

Antara penerima sumbangan daripada YAB Timbalan Perdana Menteri
Majlis perasmian kompleks ini telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam ucapan perasmiannya, Zahid menegaskan bahawa isu keterjaminan makanan bukan sekadar soal pengeluaran, tetapi juga berkait rapat dengan kestabilan sosial, politik dan ekonomi negara.

Lawatan ke dalam reban ayam yang menempatkan hampir 30,000 ekor ayam pedaging
“Hari ini, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa komited dalam memastikan setiap rakyat menikmati akses kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat – sebuah hak asasi yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya.
Dengan keluasan 50 ekar, kompleks ini direka untuk menternak sehingga 1.5 juta ekor ayam setahun menggunakan sistem ternakan tertutup yang moden.
Menerusi 10 buah reban yang setiap satunya mampu menampung 30,000 ekor ayam dalam setiap pusingan, kompleks ini bakal menyumbang kepada peningkatan pengeluaran domestik secara konsisten.
Zahid turut menekankan bahawa kejayaan projek ini membuktikan kesungguhan FELCRA dalam membangunkan sektor penternakan yang mampan dan berdaya saing.
“Apa yang menarik perhatian saya ialah ketiadaan bau kurang menyenangkan serta hampir tiada lalat berkeliaran.
“ Ini membuktikan bahawa FELCRA mengambil serius amalan pengurusan ladang yang lestari dan efisien,” ujarnya.
Beliau menyatakan keyakinannya bahawa kompleks ini bukan sahaja akan memastikan kestabilan bekalan ayam dalam pasaran tetapi juga akan membuka peluang ekonomi baharu bagi masyarakat setempat.
-AA-