
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 14 Feb (MalaysiaAktif) – Penyerahan sumbangan daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) meringankan beban waris kepada 71 orang pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.
Semua pelajar tersebut menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) dan Sumbangan Kelengkapan Persekolahan dalam satu majlis yang diadakan di Dewan SK Sungai Tiang, di sini semalam.

Salah seorang penerima sumbangan telah menerima sumbangan daripada Guru Besar SK Sungai Tiang.
Inisiatif yang diambil oleh pengurusan FELDA ini dapat memberi semangat dan sokongan moral kepada para pelajar yang baru memasuki alam persekolahan di peringkat rendah.
Menurut Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM) Mohd Kamal Adzrin Lukaman, pada sesi persekolahan kali ini seramai 445 orang pelajar akan mula bersekolah pada Ahad ini.
“Selain itu, 55 orang pelajar baru yang terdiri daripada pelajar berusia lima dan enam tahun akan mendaftar di PRA SK Sungai Tiang.
“Setakat ini, SK Sungai Tiang beroperasi dengan satu sesi pembelajaran iaitu pada sebelah pagi sahaja,” ujarnya.
Guru Besar Ahmad Muslim Mahmood hadir menyerahkan sumbangan.

Waris pelajar yang hadir untuk pendaftaran pelajar Tahun Satu di SK Sungai Tiang.
Salah seorang waris Tahun Satu yang ditemui pagi semalam, Fatin Aaizag Ibrahim, 33, menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan dan FELDA sendiri kerana sentiasa membantu meringankan beban ibu bapa yang kini amat terkesan dengan harga barangan keperluan sekolah yang semakin meningkat.
“Sumbangan kelengkapan persekolahan ini juga dapat memberi semangat kepada para pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan baru ini,” ujarnya.
-ZS-