
Laporan/foto: Suhaimi Nik Wil/Mohamad Azam Mat Awi
KUALA KRAI, 26 Feb (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKKP) Mukim Batu Balai telah melaksanakan projek ternakan ikan keli dalam kolam simen menerusi program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang bertujuan meningkatkan ekonomi komuniti setempat.

Perasmian program oleh Datuk Hj Mohamed Zulkifli.
Penternakan ikan keli dalam kolam simen menawarkan pelbagai kelebihan, termasuk ketahanan yang lebih lama, kemudahan dalam pengawalan kebersihan serta pengurangan risiko jangkitan parasit berbanding kolam tanah.
Menurut Pengerusi JPKKP Mukim Batu Balai, Ahmad Mohd Ariffin, 56, peruntukan yang diterima digunakan sepenuhnya untuk membina kolam dan menyediakan fasiliti lengkap bagi memastikan kelancaran projek.
“Saya optimis bahawa projek ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan peserta, tetapi juga memberi manfaat besar kepada komuniti Kampung Mukim Batu Balai secara keseluruhannya,” katanya.

Antara tetamu yang hadir untuk majlis perasmian.
Beliau turut menekankan kelebihan penggunaan kolam simen dalam penternakan ikan keli.
“Penggunaan tangki simen memudahkan kawalan kualiti air, yang merupakan faktor penting dalam pertumbuhan ikan keli. Selain itu, kolam simen lebih tahan lama, mudah diselenggara, serta lebih bersih berbanding kolam tanah,” katanya.
Secara keseluruhan, penternakan ikan keli dalam kolam simen dilihat sebagai pilihan yang menguntungkan, bukan sahaja dari segi ekonomi dan pemakanan tetapi juga dalam menyokong perkembangan industri akuakultur tempatan.
-ZS-